PENDAHULUAN
Manusia memang mementingkan sejarah dan tidak berupaya
untuk melupakannya. Sebelum isu ini dikupas dengan lebih mendalam, maka
perlulah kita mengetahui pengertian sejarah itu sendiri. Pemahaman yang
mendalam tentang sejarah itu sendiri akan memperlihat kepentingannya
yang tidak dapat tidak bagi masyarakat sekarang untuk menerimanya.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, ‘sejarah’ membawa maksud asal-usul
(keturunan), salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu
yang lampau, kisah, riwayat, tambo, kajian atau pengetahuan mengenai
peristiwa-peristiwa yang telah lalu, tawarikh. Orang Barat yang terdiri
daripada Herodotus telah menyamakan perkataan sejarah dengan perkataan
Inggeris iaitu Histories. Perkataan ini berasal dari perkataan Historia
yang bererti penyelidikan atau penyiasatan. Di sini menunjukkan bahawa
pengkajian sejarah bergantung sepenuhnya kepada penyelidikan terhadap
perkara-perkara yang benar-benar pernah terjadi.
Manakala secara
umumnya sejarah itu dapat didefinisikan sebagai rekonstruksi masa lalu.
Jangan dibayangkan bahawa membangun kembali masa lalu itu untuk
kepentingan masa lalu itu sendiri kerana itu merupakan antikuarianisme
dan bukan sejarah. Juga jangan dibayangkan masa lalu yang jauh. Hal ini
kerana menurut salah seorang sejarawan Amerika, sejarah itu ibarat orang
menaiki kereta menghadap ke belakang.
KEPENTINGAN SEJARAH KEPADA MANUSIA
Sejarah sememangnya memainkan peranan yang penting dalam kehidupan
manusia pada masa sekarang mahupun pada masa hadapan walaupun sesetengah
masyarakat awam berpendapat sejarah itu hanyalah rangkaian kisah lalu
dan tidak perlu diungkit lagi. Malah menurut mereka iaitu masyarakat
awam yang tidak mempunyai kefahaman mengenai disiplin ilmu sejarah ini,
belajar sejarah itu bukannya kewajipan dan tidak mempelajarinya bukanlah
satu kesalahan. Pandangan ini sememangnya tidak benar bagi golongan
intelek sejarah kerana menurut mereka sejarah itu merupakan peristiwa
masa lalu yang kita harus terima ia mempunyai kegunaan, malah nilaian
tertentu, dalam kehidupan manusia. Sedikit sebanyak kita dapat melihat
bahawa sejarah itu suatu proses yang bersambungan; kita dapat merasakan
bahawa sesuatu peristiwa yang kita hadapi pada hari ini merupakan
sebahagian daripada peristiwa semalam dan kemungkinan besar pula akan
menunjang menjadi sebahagian daripada peristiwa yang akan berlaku pada
masa akan datang.
Sejarah dikatakan penting bagi meningkatkan ilmu
pengetahuan di kalangan masyarakat terutamanya masyarakat intelek yang
beria-ia untuk mendalami kepelbagaian disiplin ilmu pengetahuan
seterusnya merakamkannya sama ada dalam bentuk bercetak, audio mahupun
visual. Rakaman atau pendokumentasian ini akan disebarluaskan ke segenap
lapisan masyarakat. Kita sebagai manusia seharusnya mengetahui akan
diri kita dan mengetahui keupayaan diri kita sendiri. Hal ini dapat
kita ketahui melalui sejarah. Menurut pendefinisian sejarah oleh Carr,
menunjukkan bahawa sejarah berfungsi untuk menyimpan dan meneruskan
pengalaman-pengalaman secara kolektif dari satu generasi ke satu
generasi berikutnya dan dengan itu berlakunya proses pembudayaan,
sosialisasi dan pendidikan secara terus-menerus. Sejarah penting dalam
meningkatkan pengetahuan ini dapat kita sorotkan dalam Tuhfat Al-Nafis
yang menerangkan perihal kesultanan Melayu Johor-Riau dan Bugis.
Tulisan ini menceritakan asal-usul, peperangan, pemerintahan dan segala
macam mengenai kesultanan Melayu Johor-Riau dan Bugis. Jadi melalui
pembacaan dan pengkajian yang lebih mendalam tentang tulisan ini iaitu
Tuhfat Al-Nafis, pembaca dan pengkaji akan sekaligus dapat meningkatkan
pengetahuan mengenai kesultanan Melayu Johor-Riau dan Bugis. Tuhfat
Al-Nafis hanya merupakan salah satu contoh dalam memperkenalkan
kepentingan sejarah sebagai pemangkin dalam meningkatkan ilmu
pengetahuan.
Sejarah turut berperanan dalam memberi pendidikan
kepada masyarakat terutamanya pendidikan moral. Ini dapat dibuktikan
melalui peristiwa-peristiwa dalam Sejarah Melayu yang memberi pendidikan
moral kepada kita. Misalnya, salah satu faktor keruntuhan kerajaan
Singapura adalah akibat kezaliman rajanya iaitu Raja Iskandar Syah yang
telah mengaibkan rakyatnya akibat sikapnya yang membuta-tuli dengan
menjatuhkan hukuman yang mengaibkan terhadap gundik kesayangannya iaitu
puteri Sang Rajuna Tapa yang difitnah . Hal ini telah menyebabkan Sang
Rajuna Tapa belot dan berkrompomi dengan Majapahit seterusnya
membolehkan Majapahit menawan Singapura. Di samping memberi pendidikan
moral kepada masyarakat, sejarah juga memainkan peranan yang penting
dalam pembinaan intelektual. Pembinaan intelektual bermaksud pembinaan
dari segi pemikiran sesebuah masyarakat terutamanya yang mengkaji
peristiwa sejarah. Pembinaan moral dan intelektual di kalangan
masyarakat amat penting kerana tanpa kedua-dua aspek ini maka masyarakat
yang lahir merupakan masyarakat yang kurang matang dalam segala aspek
kehidupan dan tidak mampu serta tidak bersedia untuk menghadapi dunia
mendatang.
Sejarah juga dikatakan berkepentingan untuk
mematangkan minda dan diri manusia. Hal ini kerana, melalui pengkajian
sejarah maka kita akan dapat memperoleh ilmu pengetahuan dan pelbagai
maklumat. Dapatan kajian mengenai sejarah terutamanya
peristiwa-peristiwa sejarah yang menjadi sumber ilmu pengetahuan dan
maklumat akan diolah, diproses dan dicerna oleh minda dan ini akan
mewujudkan paradigma dalam pemikiran. Melalui kematangan minda, maka
manusia akan dapat meningkatkan keyakinan diri setelah melihat
keterlibatan dan peranan serta sumbangan tokoh-tokoh sejarah terutamanya
mereka yang terlibat dalam proses perkembangan tamadun sama ada tamadun
dunia ataupun tamadun setempat. Kita dapat lihat melalui sejarah
kemerdekaan negara kita Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah mempelopori
langkah kemerdekaan negara kita melalui rundingan bukannya melalui
pertumpahan darah. Peristiwa ini jelas menunjukkan sumbangan tokoh-tokoh
dalam memperolehi kemerdekaan. Sudah tentu sumbangan tokoh-tokoh ini
menjadi penting dalam sejarah hari ini kerana melalui sumbangan mereka
akan memberi keyakinan diri kepada masyarakat untuk memperbaiki
kehidupan mereka pada hari ini dan masa depan.
Salah satu sebab
yang memuatkan sejarah itu tidak dapat untuk dilupakan dan senantiasa
penting sama ada untuk hari ini mahupun masa depan adalah disebabkan
sejarah itu merupakan warisan untuk generasi akan datang. Sememangnya
setiap perkara baik yang kita lakukan sudah pasti ita mahu perkara itu
diwarisi dan diperturunkan kepada generasi kita akan datang. Hal ini
kerana setiap peristiwa itu mempunyai kebaikan dan keburukannya, maka
generasi baharu perlulah mentelaahnya dan mengaplikasikan dalam
kehidupan yang mendatang. Perihal yang baik dijadikan tauladan, manakala
perihal yang buruk dijadikan sempadan. Kita dapat perhatikan melalui
pengamalan adat Melayu yang menerima pengaruh India dan sesetengahnya
masih diamalkan hingga ke hari ini. Pertalian adat Melayu dengan India
dapat dilihat dalam adat istiadat pertabalan iaitu Sultan duduk di atas
takhta tidak bergerak-gerak semasa upacara dijalankan. Ini adalah satu
ciri sifat devaraja. Adat ini merupakan salah satu daripada warisan
untuk generasi akan datang. Manakala menurut Raja Ali Haji:
Keluh-kesah duduk berpindah
Memikirkan perkataan barang yang indah.
Hal ini saya permaklumkan
Kepada Tuan Penghulu saya sembahkan
Sampailah hajat yang dicitakan
Mudah-mudahan dapatlah dipergunakan.”
Sejarah amat sinonim dengan pengajaran. Hal ini kerana sejarah
merupakan himpunan kisah-kisah yang telah lalu. Jadi terdapat
kepelbagaian peristiwa dan fenomena telah berlaku dan ini memungkinkan
generasi baru untuk mengambil iktibar dan pengajaran. Walau
bagaimanapun, sejarah itu sememangnya perlu dijadikan sumber kesedaran
kepada masyarakat dalam memupuk semangat bagi memperbaiki segala
kelemahan, menilai kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat
tradisi, memulihkan semula kekuatan moral dan mental bagi kemajuan
individu, masyarakat, dan negara. Ranke mengakui bahawa matlamat utama
ahli sejarah ialah untuk menghasilkan sejarah dunia, yang mana
peristiwa-peristiwa setempat harus dicantumkan dalam satu rangkaian yang
melibatkan seluruh dunia. Namun, percantuman ini tidak harus
mengabaikan penelitian peranan individu, generasi, institusi, negara dan
bangsa yang wujud secara berasingan tetapi berinteraksi antara satu
sama lain untuk mencetuskan kejadian-kejadian yang bersifat sejagat itu.
Pada amnya, setiap anggota masyarakat, yang psikologinya tidak
dirosakkan oleh penekanan penjajahan ataupun sistem politik tradisi yang
beku, akan mempunyai daya usaha serta kekuatan untuk berjuang demi
menebus kembali kekurangan dan juga kegagalannya pada masa lepas. Dalam
hal ini, masa lalu itu merupakan petunjuk bagi seseorang insan untuk
mengendalikan masa yang sedang dihadapinya dengan penuh keyakinan dan
kekuatan. Seperti yang telah disebutkan, manusia juga akan menggunakan
masa lalu sebagai petunjuk bagi merancang masa depan yang lebih
bermakna. Skop ini dapat kita perhatikan peristiwa ketidaksetiaan
sesetengah golongan pembesar Melaka pada awal abad ke-15 yang
bersubahat dengan Portugis telah menjadi salah satu daripada faktor
runtuhnya empayar Melaka. Peristiwa ini boleh dijadikan pengajaran yang
berguna kepada masyarakat kini iaitu kita semua mestilah bersatu-padu
dalam menjaga keutuhan dan kedaulatan negara kita daripada dicemari oleh
sebarang unsur asing yang berbentuk penjajahan.
Sejarah juga
berkepentingan dalam memupuk perasaan ke arah mewujudkan perpaduan
sosial. Perpaduan sosial yang dicanang ini bukanlah bertujuan untuk
mengubah atau menginterpretasi semula sejarah lalu, tetapi pemupukan
terhadap perpaduan sosial ini lebih kepada penerapan bagi generasi
sekarang dan seterusnya digunapakai sebagai rujukan oleh generasi akan
datang. Perpaduan sosial ini dikatakan menjadi salah satu daripada sebab
mengapa sejarah itu tidak dapat dilupakan kerana terdapat pelbagai
peristiwa lalu yang berlaku berhubung kait dengan konsep perpaduan.
Antara peristiwa sejarah yang tidak dapat dipertikaikan lagi akan hubung
kaitnya dengan perpaduan sosial ialah peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa
ini telah menyebabkan berlakunya banyak kerosakan harta benda dan
kehilangan nyawa serta keadaan fizikal dan harta benda awam banyak yang
musnah. Perintah berkurung juga telah dilaksanakan untuk mengawal
keselamatan dan kestabilan negara sehingga masyarakat tidak bebas
mencari nafkah dan juga berinteraksi antara satu sama lain. Keadaan dan
peristiwa pahit ini telah menuntut masyarakat agar mengekalkan perpaduan
dengan mengikis sikap perkauman supaya keamanan dapat dicapai.
Perpaduan sosial dapat juga dilihat melalui peristiwa apabila
parti-parti politik dari 3 kaum terbesar di Malaysia iaitu UMNO (United
Malay National Organation), MCA (Malayan Chinese Association) dan MIC
(Malayan Indian Congress) bersatu membentuk satu parti perikatan untuk
mendapatkan sokongan dari kaum masing – masing bagi membentuk satu
kerajaan yang kukuh. Kejayaan parti perikatan ini dapat dibuktikan
melalui kejayaan membubarkan rancangan Malayan Union. Kejayaan ini
dapat dilihat melalui kemenangan bergaya dalam Pilihanraya Umum 1955
iaitu memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi dan satu kerusi dimenangi
oleh Parti Islam Se-Malaysia. Dengan wujudnya toleransi di kalangan
3 kaum terbesar ini maka proses persefahaman ke arah melahirkan
semangat kerjasama telah menampakkan hasil yang diharapkan iaitu
kita telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Inilah yang
dikatakan sejarah itu penting dalam memupuk perpaduan sosial.
Sejarah juga tidak boleh tidak berperanan dalam pembangunan bangsa dan
negara. Kita sudah pasti akan mempertahankan kegemilangan dan pencapaian
yang pernah dicapai oleh seseorang atau oleh sesebuah negara. Kita
sememangnya akan mengingati tanggal 31 Ogos 1957 dimana British telah
bersetuju memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.
Pejuang-pejuang yang telah berjuang demi memperolehi kemerdekaan dan
terkorban di medan perang akan dikenang sampai bila-bila. Pemahaman
tentang hubungan budaya yang lalu dengan budaya masyarakat hari ini
perlu untuk membuat perbandingan bagi membangunkan dan memajukan
masyarakat serta negara pada hari ini dan masa depan. Kita dapat rujuk
kepada sejarah Indonesia yang mundur dalam industrialisasinya dapat
belajar dari negara industrial dan negara pascaindustrial. Dari Jepun
pula, kita dapat belajar bagaimana mempunyai industri besar tanpa
mematikan industri kecil. Memang benar bahawa kedua-dua negara iaitu
Jepun dan Indonesia mengalami industrialisasi dalam keadaan yang
berbeza, tetapi kedua-duanya merupakan bangsa Timur dan sama-sama
mempunyai tradisi ketimuran. Melalui kedua-dua peristiwa sejarah
tersebut kita mampu mencari formula bagi membangunkan negara dengan
menggunakan kaedah yang bersesuaian. Dasar Ekonomi Baru dan Rangka
Rancangan Jangka Panjang Pertama yang dilaksanakan sejak 1971 telah
berakhir pada penghujung 1990. Sebagai gantinya Dasar Pembangunan Negara
(DPN) telah diperkenalkan dengan 1990. Sebagai gantinya Dasar
Pembangunan Negara (DPN) telah diperkenalkan dengan bermatlamatkan
pembangunan yang seimbang untuk membentuk masyarakat yang lebih adil
lagi bersatu. Dasar ini menekankan pertumbuhan mapan dengan harapan akan
membolehkan penduduk Malaysia menyertai kegiatan – kegiatan utama
ekonomi, sekaligus mempastikan kestabilan politik dan perpaduan negara.
DPN yang merangkumi RRJP 2 telah meneruskan RRJP 1 tetapi dengan rangka
yang lebih luas dari segi meyatupadukan masyarakat. Malah ia memberi
tumpuan kepada golongan miskin dan mengurangkan kemiskinan relatif,
mewujudkan pekerjaan dan membentuk sebuah Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputra (MPPB). Pembentukan dasar ekonomi ini yang
bertitik-tolak daripada ketidakseimbangan ekonomi yang telah mencetuskan
rusuhan antara kaum di Malaysia. Melalui pembentukan dasar ekonomi ini,
keamanan dalam masyarakat dapat dikembalikan, ekonomi dapat dipulihkan
serta dieksploitasi sama rata dan pembangunan negara dapat dijana. Jadi,
contoh peristiwa-peristiwa sejarah tersebut menggambarkan
peripentingnya sejarah dalam membangunkan bangsa dan negara.
Melalui
pembacaan, pengolahan, penelitian, dan pengkajian mengenai sejarah
mencetuskan satu simpulan idea yang membenarkan pernyataan bahawa
manusia memang mementingkan sejarah dan tidak berupaya melupakannya.
Falsafah sejarah tidak memberi tumpuan sama ada kepada ‘masa lampau itu
sendiri’ ataupun kepada ‘tanggapan ahli mengenainya secara tersendiri’,
tetapi kepada ‘kedua-dua perkara tersebut dalam perkaitan antara sesama
mereka’. Klausa ini membayangkan kedua-dua pengertian ‘sejarah’ masa
kini dan siasatan yang dijalankan oleh ahli sejarah dan siri-siri
peristiwa masa lampau yang disiasat olehnya. Masa lampau yang dikaji
oleh ahli sejarah bukanlah suatu masa lampau yang telah mati, tetapi
masa lampau yang dari beberapa segi masih hidup pada masa kini.
Pengkajian sejarah oleh ahli-ahli sejarah telah mengeksploitasi
kepelbagaian sumber dan kemudiannya dirakamkan sama ada dalam bentuk
bercetak, audio mahupun visual. Rakaman elektronik atau bercetak ini
akan disebarluaskan ke segenap lapisan masyarakat, malahan mampu
digunapakai oleh masyarakat antarabangsa. Melalui pemahaman daripada
penyebarluasan maklumat sejarah ini akan sekaligus meningkatkan
peripentingnya sejarah itu kepada manusia sejagat.
BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Haji Abdullah (1994). Pengantar ilmu sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Arba’iyah Mohd Noor (2002). Ilmu sejarah dan pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
A. Samad Ahmad (2000). Sulalatus salatin sejarah Melayu edisi pelajar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Carr,
E. H. , (1984). Apakah sejarah? (Ab. Rahman Haji Ismail, Terjemah).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Chamil Wariya (1987). Politik kompromi. Kuala Lumpur: ‘K’ Publishing & Distributors.
Funston,
J. , (1980). Malay politics in Malaysia. A study of UMNO & PAS.
Kuala Lumpur: Hainemain Educational Books (Asia) Ltd.
Ismail
Hussein, A. Aziz Deraman dan Abd. Rahman Al-Ahmadi (Ed.). (1993).
Tamadun Melayu jilid satu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kamus Dewan edisi ketiga (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Konsep
dan didaktik sejarah terhadap tindak-tanduk individu serta perkembangan
negara (2005). Diperoleh pada Sept 5, 2005 daripada
http://www.brunet.bn/ news/pelita.
Mohd Radzi Abdul Latif (2004).
Biduk lalu kiambang bertaut: Pendekatan mesra rakyat Pak Lah.
Diperoleh pada Ogos 29, 2005 daripada
http://www.yksm.com.my/buletin/7-sep-04 asp.
Muhd. Yusof Ibrahim
(1986). Pengertian sejarah: Beberapa perbahasan mengenai teori dan
kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Muhd. Yusof Ibrahim (2000). Ilmu sejarah: Falsafah, pengertian dan kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Prof. Dr. Kuntowijoyo (2001). Pengantar ilmu sejarah. Jogjakarta: Yayasan Bentang Budaya.
Raja
Ali Haji (1998). Tuhfat al-nafis. Dikaji dan diperkenalkan oleh
Virginia Matheson Hooker. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Rohani Abdul Ghani dan Zulhilmi Paidi (Ed. ).
(2002). Kenegaraan Malaysia: Isu-isu dan perkembangan. Bentong: PTS
Publication & Distributors Sdn Bhd.
Ruslan Zainuddin (2003). Sejarah Malaysia edisi kedua. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.
R. Suntharalinggam (1985). Pengenalan kepada sejarah. Kuala Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan